Tekong ditahan bawa ketum dalam bot - Utusan Malaysia

Tekong ditahan bawa ketum dalam bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Tindakan seorang tekong warga Thailand membawa daun dan air ketum membawa padah apabila dia ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Langkawi di sini semalam.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan ketika sedang mengemudi sebuah bot nelayan tempatan pada kedudukan 2.3 batu nautika barat laut Tanjung Kemarong kira-kira pukul 1.30 petang. 

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said memberitahu, tangkapan dilakukan ketika bot peronda APMM sedang melakukan rondaan dan kawalan sempadan di kawasan perairan tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa tekong warga Thailand itu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan plastik berisi daun ketum disimpan di dalam kotak simpanan ikan dan bilik kemudi dengan anggaran berat 710 gram. 

“Kita juga menemui 10 botol plastik disyaki air ketum dengan anggaran seberat 500 mililiter (ml) setiap satu dan kesemua cecair itu disimpan di dalam tong biru. 

“Turut dirampas empat botol 100ml berisi cecair berwarna hitam dipercayai ubat batuk,” ujarnya.

Tambahnya, bot bersama tekong tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

APMM menyeru agar orang awam melaporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×