Dua beranak hadapi tuduhan tipu kontraktor projek PLKN - Utusan Malaysia

Dua beranak hadapi tuduhan tipu kontraktor projek PLKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seorang bapa dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan projek Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) enam tahun lalu.

Tertuduh, Abd. Razak Haron, 68, dan anaknya Shaiful Bakhtiar Abd. Razak, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin selepas pertuduhan keatas mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang kontraktor, Mohd. Yusoff Salleh, 55, membabitkan wang RM10,000 di kaunter Maybank Kuala Klawang pada 18 Oktober 2013 antara pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa menipu individu yang sama membabitkan wang berjumlah RM70,000 di kaunter Bank Rakyat, Seremban pada 21 Oktober 2013 antara pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.

Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum10 tahun, sebatan dan boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Abd. Razak yang kini tidak bekerja dan Shaiful Bakhtiar yang merupakan peniaga diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Hakim turut menetapkan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×