KUALA LUMPUR 30 Jan.- Sebanyak 5.72 juta saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, bagaimanapun daripada jumlah tersebut, hanya 25 peratus iaitu 1.42 juta saman dibayar.
“Saman-saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk enam kesalahan utama.
“Bagaimanapun, dua saman tertinggi dikeluarkan ialah kesalahan melebihi had laju dan meletak kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azisman berkata, sebanyak 548,598 kes kemalangan dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, Selangor muncul negeri tertinggi berlaku kemalangan iaitu sebanyak 163,078 kes atau 29.7 peratus.
“Johor pula merupakan negeri kedua tertinggi dengan 78,812 kes diikuti Kuala Lumpur iaitu 72,284 kes,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











