3 wanita Indonesia tawar khidmat seks dihukum penjara, denda - Utusan Malaysia

3 wanita Indonesia tawar khidmat seks dihukum penjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 30 Jan. – Tiga wanita warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan pada dua minggu lalu.

Dua daripada mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala seorang lagi didenda RM2,300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Renny, 25, dan Hardiyanti, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh manakala Nurma Linda, 31, dituduh dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh masing-masing didapati bersalah mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Munshi Abdullah di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 14 Januari lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Intan Lyiana Zainal Abidin sebelum itu memohon hukuman setimpal diberikan, selain diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan di kampung halaman.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Renny dan Hardiyanti manakala Nurma didenda sebanyak RM2,300 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×