Tiga wanita dijel, denda tawar khidmat seks  - Utusan Malaysia

Tiga wanita dijel, denda tawar khidmat seks 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Dua wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala seorang lagi didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Renny, 25, dan Hardiyanti, 33, yang merupakan warga Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh Nurma Linda, 31, bagaimanapun dituduh dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh masing-masing didapati bersalah mencari langganan bagi maksud persundalan kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah hotel di Jalan Munshi Abdullah, pada 14 Januari 2019.

Bagi kesalahan itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari dan Intan Lyiana Zainal Abidin memohon hukuman setimpal diberikan, selain diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan di kampung halaman.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Renny dan Hardiyanti manakala Nurma didenda sebanyak RM2,300 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×