KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga kini telah berjaya mengenal pasti 841 penempatan untuk ditawarkan kepada pekerja kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang terkesan akibat pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menurut kementerian itu, penempatan itu akan ditawarkan selepas Tahun Baharu Cina nanti.
Jelas kementerian itu lagi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong telah mengadakan pertemuan bersama wakil Jawatankuasa Bekas Pelatih JLKN dan wakil daripada JPA berhubung perkembangan terkini inisiatif membela nasib pekerja kontrak itu yang diumumkan semasa sidang Parlimen pada Disember lalu.
Berita berkaitan:
“Bagi pemohon yang lain, pihak JPA sedang melaksanakan segala yang termampu bagi membantu pemohon untuk mengisi jawatan kosong di kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan.
“Walau bagaimanapun, tawaran kontrak akan diberikan mengikut kesesuaian dan kemahiran pemohon dan bergantung kepada kekosongan jawatan yang akan diisi,” menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat kementerian tersebut di sini hari ini.
Tambah kementerian itu, kerajaan terus prihatin terhadap nasib dan kebajikan pekerja serta anggota keluarga mereka.
“Justeru para pemohon diharap dapat memberi ruang agar proses penempatan semula ini dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan memandangkan ini juga merupakan kali pertama kerajaan memberikan tawaran begini,” kata kementerian itu.
Kira-kira 2,100 kakitangan kontrak PLKN dikatakan terkesan setelah Kabinet memutuskan untuk memansuhkan program itu sejak Ogos 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, kementeriannya sedang dalam usaha membantu kakitangan itu mendapat pekerjaan sama ada dalam kerajaan mahupun sektor swasta.-UTUSAN ONLINE











