KUALA LUMPUR 30 Jan. – Felda didakwa gagal menguruskan ladang sawit dan getah sehingga menjejaskan aliran tunai agensi itu serta memberi kesan kepada pendapatan peneroka.
Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 Felda, Mohd. Stap Othman berkata, kegagalan agensi terbabit termasuk Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTPSB) dalam menghasilkan produktiviti yang berkualiti antara punca utama berlakunya masalah berkenaan.
Menurutnya, masalah tersebut bermula daripada kegagalan proses tanam semula, pengurusan operasi mengikut amalan pertanian dan juga pengeluaran hasil yang berkuantiti dan berkualiti dengan baik.
“Terdapat juga pelanggaran perjanjian yang termaktub mengenai, kualiti benih yang ditanam, taburan baja berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) perladangan sawit dan getah, pengurusan jalan pertanian serta kawalan musuh penyakit terhadap ladang peneroka yang diuruskan agensi terbabit.
“Peneroka telah membuat aduan dan laporan kepada pelbagai pihak melalui pelbagai saluran, namun tindakan yang diambil oleh Felda dan FTPSB daripada peringkat rancangan, wilayah dan ibu pejabat amat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Stap turut mendakwa tindakan Felda yang menyediakan penyata kewangan tidak telus telah menyebabkan keberhutangan peneroka menjadi tinggi.
“Felda dan FTPSB dengan jelas gagal memuktamadkan penyata kewangan peneroka mengikut prinsip perakaunan dengan membentangkan perincian perbelanjaan dan pendapatan serta mendapat persetujuan kedua belah pihak untuk nilai yang dicatat dalam penyata yang telah dikeluarkan.
“Bayaran kembali hutang yang dipotong dan tabungan yang dicarum melalui pendapatan bulanan peneroka seperti tabung tanam semula, jalan pertanian, tabung minda, pemulihan ladang dan insurans ladang juga gagal dibentangkan jumlah terkumpul dan dibelanjakan malah dimasukkan dalam bahagian perbelanjaan serta dikenakan caj faedah ke atasnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











