KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merayu kepada Ragbi Asia (AR) supaya denda AS$9,000 (RM36,996) yang dikenakan kerana tidak menyertai Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia di Bangkok, bulan lalu dapat dikurangkan lagi.
Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, ini adalah rayuan kedua selepas badan induk itu bersetuju mengurangkan denda asal, AS$10,000 (RM41,108).
“Difahamkan AR akan mengadakan mesyuarat Exco atau Majlis di Sandakan, Sabah, Mac ini dengan menjadikan isu denda itu sebagai satu agendanya,” katanya selepas majlis undian Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2019 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini hari ini.
Katanya, KRM menghadapi masalah kewangan pada suku terakhir tahun lalu apabila tuntutan peruntukannya daripada Majlis Sukan Negara (MSN) lewat dijelaskan sehingga terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Bawah 19 Asia itu.
“(Denda AR itu) satu pengajaran bermakna bagi kami tetapi inilah hakikat kehidupan dan kadangkala kita terpaksa membuat satu keputusan yang sangat payah dan menyedihkan sebab pemain telah berlatih,” katanya.
Terdahulu KRM katanya masih cuba memastikan penyertaan pasukan itu dengan mengambil langkah penjimatan seperti hanya menggunakan bas ke Bangkok setelah mendapat penajaan sebuah syarikat korporat yang agak lewat.
Begitupun, AR ketika itu telah menamakan China sebagai pasukan gantian dan slot Malaysia dalam Divisyen Satu tidak dapat dikembalikan.
Sementara itu, MRL yang berlangsung dari 16 Februari hingga 24 Mac di Padang Universiti Putra Malaysia, Serdang dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Kuala Lumpur akan menjadi medan pemilihan pasukan negara ke Kejohanan Asia (ARC) Divisyen Perdana, Mei nanti.
Kumpulan A Divisyen Perdana MRL menampilkan Keris Conlay, SSTMI Tsunami, Mersing Eagles dan UiTM Lions manakala Asas RC, NS Wanderers, Iskandar Raiders dan Mersing Eagles menganggotai Kumpulan B.











