SHAH ALAM 29 Jan. – Malaysia mempunyai calon lain yang boleh dipilih menggantikan Bart Kizierowski selepas bekas perenang Olimpik Poland itu menolak untuk melatih pasukan negara ini kerana enggan membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau adalah orang yang menemuduga Kizierowski dan bersetuju melantiknya sebagai jurulatih.
“Kita tiada masalah jika dia tidak mahu (terima). Saya sendiri temuduga dia. Memang kita cadang nak ambil dia sebagai jurulatih.
“Apa pun kita masih ada calon lain yang kita ketepikan buat masa ini. Kita akan tengok semula,” kata Ahmad Shapawi selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan MSN di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian menghormati keputusan Kizierowski.
“Kita masih ada jurulatih lain yang akan ambil alih (tugas itu) buat masa ini sambil kita mencari jurulatih baharu.
“Kita ada pilihan tetapi yang penting adalah menghormatinya (kerana) itu pendirian dia,” kata Syed Saddiq.
Kizierowski, 42, yang pernah meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia, selain emas Kejuaraan Eropah baru-baru ini memuat naik status dalam media sosial bahawa dia menolak tawaran Malaysia susulan keengganan negara ini meluluskan visa kepada atlet Israel.
“Saya menerima tawaran menarik untuk menjadi jurulatih renang Malaysia.
“Antara alasan peribadi, saya menolaknya adalah kerana kenyataan terbaru dibuat ahli politik Malaysia tidak membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019.
“Tiada tempat dalam sukan untuk perkara sebegitu,” katanya.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IPC) kelmarin menarik balik hak tuan rumah daripada Malaysia yang sepatutnya menganjurkan kejohanan itu di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.
Kizierowski yang juga pembawa bendera Poland dalam Sukan Olimpik Athens 2004 sepatutnya memulakan tugas selepas sambutan Tahun Baru Cina.











