PUTRAJAYA 29 Jan. – Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 merupakan satu ketegasan kerajaan bahawa ‘pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar serta akan kita hukum’ manakala ‘perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan dengan tindakan lebih tegas.’
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia adalah satu bukti bahawa tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah lalu bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.
“Ia satu tindakan yang diambil kerana kerosakan mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas.
“Kerana itu, pelan ini hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa depan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ia satu amalan keji serta menjijikkan,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan NACP 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, seperti sedia maklum bahawa terdahulu Pelan Integriti Nasional (PIN) telah diperkenalkan pada tahun 2004 yang memberi fokus kepada pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat.
“Malangnya pelan tersebut tidak berupaya menyekat budaya rasuah malahan semakin menjadi-jadi selepas diperkenalkan sehinggalah beberapa tahun lalu apabila negara digelar sebagai sebuah kleptokrasi, satu label yang amat memalukan,” katanya.
Dr. Mahathir dalam sidang akhbar kemudiannya memaklumkan, NACP merupakan satu usaha kerajaan memerangi rasuah dan amalan tidak berintegriti pada masa hadapan.
Katanya, rasuah dilakukan orang terdahulu akan ditangani melalui proses undang-undang manakala pelan itu merupakan satu amaran kepada beliau sendiri, menteri-menteri, anggota pentadbiran dan orang ramai.
“Pelan ini bukan sahaja menghukum tetapi kita cuba kesalahan (rasuah) ini tidak berlaku,” katanya.










