Sokong benarkan pekerja solat - Utusan Malaysia

Sokong benarkan pekerja solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
Majlis
Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyokong penuh cadangan daripada Kementerian Sumber Manusia berhubung garis panduan menunaikan solat dalam waktu kerja khususnya untuk pekerja swasta yang beragama Islam di seluruh negara pada 17 Januari lalu.

Garis panduan yang dicadangkan menjadi penanda aras kepada majikan dalam mengendalikan perkara berkaitan pelepasan waktu bekerja bagi pekerja muslim menunaikan solat seterusnya dapat menyempurnakan pekerjaan sebagaimana waktu kerja di bawah Seksyen 60A Akta Kerja 1955.

Daripada kajian yang dibuat oleh UNI-MLC didapati tiada garis panduan solat dalam waktu bekerja diadakan. Apa yang ada lebih merupakan budi bicara pekerja dan pihak syarikat.

UNI MLC berpendapat perkara ini telah tertangguh sekian lama dan sudah tiba masanya perkara ini diangkat sebagai satu perkara penting kerana isu solat ini kadang kala menjadi tanda tanya sama ada pekerja-pekerja itu boleh dibenarkan untuk menunaikan solat di waktu kerja atau sebaliknya.

Pada pandangan UNI-MLC, perkara ini adalah salah satu daripada amalan dan perlu diketengahkan.

Pihak pengurusan atau majikan jangan memperlekehkan cadangan baik ini bagi membentuk keperibadian pekerja-pekerja yang dibenarkan solat di waktu kerja.

Selain itu, perkara ini boleh membentuk insan yang mulia di tempat kerja kerana majikan yang membenarkan pekerja-pekerja menunaikan solat di waktu bekerja dianggap sebagai mesra pekerja.

Ini harus dilihat dari sudut positif supaya perkara solat ini dijadikan sebagai satu standard dan boleh juga di jadikan contoh.

Jika ini berjaya pekerja-pekerja juga merasa selesa dan tidak teragak-agak menjalankan tugas lebih cemerlang dan meningkatkan produktiviti.

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL

Presiden UNI-MLC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×