KUALA LUMPUR 29 Jan. – Idea penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan awam merupakan antara contoh pendekatan terbaik yang pernah diwujudkan.
Sebagai pusat penyedia perkhidmatan yang efisien dan beroperasi di bawah satu bumbung, kewujudannya banyak memberi kemudahan terutama kepada masyarakat bandar untuk berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.
Namun perubahan waktu operasi yang dikuatkuasakan pada 22 Januari lalu dilihat lebih menimbulkan kecelaruan kepada orang ramai berbanding operasi sebelum ini yang ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, setiap hari kecuali cuti umum.
Sedangkan sebelum ini, perubahan (kali pertama) yang dikuatkuasa oleh Kementerian Kewangan pada 1 Januari lalu menetapkan waktu operasi semua UTC di seluruh negara bermula dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.
Mengikut perubahan terbaharu itu, waktu operasi di UTC Keramat, Kuala Lumpur misalnya bermula pada pukul 1 tengahari hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis; 2.45 petang hingga 10 malam (Jumaat) dan 8 pagi hingga 5 petang (Sabtu dan Ahad).
Manakala di UTC Pudu Sentral dan Sentul pula, waktu operasi ditetapkan daripada 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa UTC sekitar ibu kota baru-baru ini mendapati kebanyakan pengunjung kecewa apabila waktu operasi UTC bukan sahaja telah dipendekkan malah tidak lagi seragam sehingga menimbulkan kekeliruan.
Pemansuhan operasi pada sebelah malam misalnya menimbulkan bantahan orang ramai yang tidak lagi boleh melakukan urusan selepas tamat waktu kerja sedangkan sebelum ini, itulah waktu yang membolehkan mereka ke UTC.
Kesulitan itu secara tidak langsung menyebabkan ramai mempersoalkan relevan atau sebaliknya waktu operasi UTC yang baharu dikuatkuasakan walhal ia diilhamkan untuk memudahkan urusan warga kota yang tiada masa pada siang hari.
Pemerhatian di UTC Pudu Sentral pula mendapati beberapa pengunjung terpaksa pulang tanpa sempat menyelesaikan urusan masing-masing ekoran kekangan waktu operasi UTC berkenaan.
Sementara itu, beberapa pengunjung menyatakan mereka terpaksa pergi ke UTC di luar daerah untuk berurusan pada sebelah malam memandangkan UTC berhampiran rumahnya kini tutup lebih awal.
Selain menyukarkan urusan orang ramai, beberapa kakitangan yang enggan dikenali turut menyatakan kesukaran mereka mengendalikan urusan keluarga selepas perubahan waktu kerja.
Sehubungan itu , orang ramai menggesa kerajaan mengkaji semula keberkesanan waktu operasi sekarang dan kembali kepada waktu operasi asal iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.











