KUALA LUMPUR 29 Jan. – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak bagi memudahkan orang awam membuat semakan dan pembayaran cukai taksiran bermula 2 hingga 24 Februari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, perkhidmatan lain yang turut disediakan di kaunter berkenaan termasuk pendaftaran keahlian ahli My@MPSJ, urusan pindah milik harta, semakan dan pembayaran kompaun trafik MPSJ.
“Lokasi kaunter bergerak ini akan disediakan di pusat beli-belah IOI Puchong bermula pada 2 hingga 3 Februari; Giant Bandar Kinrara (9 hingga 10 Februari); Aeon Taman Equine (16 hingga 17 Februari); dan Subang Parade (23 hingga 24 Februari).
“Kaunter bergerak di empat lokasi berkenaan akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azfarizal, pihaknya sentiasa komited dalam menambah baik setiap perkhidmatan yang diberikan kepada penduduk di bawah pentadbiran MPSJ. – UTUSAN ONLINE











