KOTA BHARU 28 Jan. – Penaja jersi Kelantan, PUC Sport menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani masalah penjual jersi tiruan ‘The Red Warriors’ (TRW).
Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd. Shukry Pauzi berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pihaknya tidak mengalami kerugian selepas melabur sebanyak RM500,000 bagi mendapatkan hak penajaan ke atas tersebut.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan memberi kelonggaran kepada mana-mana individu yang cuba untuk mengaut keuntungan dengan menjual jersi tiruan TRW termasuk melantik peguam bagi mengheret sesiapa sahaja yang terlibat ke mahkamah.
“PUC Sport akan sentiasa memantau di semua lokasi panas seperti di Rantau Panjang atau sekita stadium serta di luar negeri seperti di Plaza Tar; GM Chow Kit; Jalan Kenanga dan Danau Kota.
“Pihaknya juga memohon kerjasama dengan orang ramai untuk melaporkan kes tersebut kepada mereka. Tiada toleransi kepada semua pihak yang menjual jersi tanpa izin. Apatah lagi yang membuat jersi tiruan dan menjualnya kepada umum,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Shukry berkata, mungkin penyokong memandang rendah terhadap isu penjualan jersi tiruan itu tetapi mereka harus sedar tindakan seperti itu akan tidak akan membantu kelab terus kekal bersaing.
“Setiap pembelian jersi palsu sebenarnya adalah tidak menghormati pasukan apatah lagi kepada pereka jersi yang sudah bersusah payah menghasilkan jersi untuk pasukan.
“Setiap pembelian jersi tiruan hanya akan menguntungkan penjual yang telah mencuri hasil kerja orang lain. Jika anda benar-benar sayangkan pasukan anda, belilah yang tulin dan elakkan membeli jersi tiruan,” ujarnya.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan jersi tersebut atau pelbagai barangan sukan lain melalui pembelian secara online di www.pucsport.com.
Pembelian secara mobile juga boleh dilakukan menerusi aplikasi bernama Puc Sport di App Store. – UTUSAN ONLINE










