KUALA LUMPUR 29 Jan.- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Dana BNM untuk Rumah Mampu Milik (Dana BNM) berjumlah RM1 bilion bagi pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana berkenaan ditawarkan kepada warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM2,300.
“Kita harap usaha BNM sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah pemilikan rumah pertama dalam kalangan kumpulan B40,” katanya pada majlis pelancaran Dana BNM dan Portal Rumahku di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah; Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Anuar Mohd. Hassan. -UTUSAN ONLINE










