SYDNEY – Bangkai beribu-ribu lagi ikan mati ditemui dalam sistem sungai utama di kawasan dilanda kemarau di timur Australia, beberapa minggu selepas hampir satu juta bangkai ikan ditemui di lokasi sama, kata pihak berkuasa dan penduduk setempat semalam.
Pihak berkuasa perikanan berkata, kakitangannya dalam perjalanan ke pekan Menindee di pedalaman negeri New South Wales untuk menyiasat kematian besar-besaran ikan di kawasan tersebut.
Pekan itu terletak dekat Sungai Darling yang membentuk sistem Sungai Murray-Darling sepanjang beberapa ribu kilometer, merentasi tujuh buah negeri dan berfungsi sebagai jelapang makanan Australia.
“Terdapat banyak bangkai ikan kecil. Ikan lebih besar sudah mati dalam dua kejadian serupa sebelum ini,” kata operator pelancongan di Menindee, Rob Gregory kepada agensi berita AFP.
Gregory berkata, dia sendiri mengira terdapat 380 bangkai ikan di kawasan seluas cuma 6 meter di sungai tersebut.
Tambahnya, Menindee sebelum ini terkenal sebagai lubuk ikan di negara itu.
“Ini sememangnya bencana yang sama dahsyat dengan kepupusan terumbu karang di Tebing Terumbu Besar,” ujarnya.
Walaupun kerajaan persekutuan mendakwa bahawa kemarau teruk dan gelombang haba menjadi punca banyak ikan mati di negara itu, pakar-pakar alam sekitar dan penduduk setempat berpendapat, kematian itu berpunca daripada pencemaran dan penyusutan air sungai secara sistemik. – AFP











