LIMA 28 Jan. – Sekurang-kurangnya 15 terkorban selepas sebuah hotel yang dijadikan lokasi majlis perkahwinan ‘dirempuh’ tanah runtuh di tenggara Peru.
BBC melaporkan, impak kejadian yang membawa lumpur dan batu menyebabkan dinding serta bumbung hotel berkenaan runtuh ketika orang ramai sedang menari.
Seramai 29 cedera dan terpaksa ditarik keluar daripada serpihan runtuhan ekoran insiden di Abancay, dekat sini semalam.
Media tempatan melaporkan, tanah runtuh berlaku disebabkan hujan lebat.
Ketua Institut Pertahanan Awam Kebangsaan Peru, Jorge Chavez berkata, kira-kira 100 tetamu menghadiri majlis perkahwinan tersebut yang diadakan di Hotel Alhambra.
“Ketika kejadian, seramai 50 orang dipercayai berada dekat dengan bahagian dinding hotel yang runtuh itu,” katanya.
Chavez berkata, mangsa yang terkorban terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita.
Namun Chavez menyatakan pasangan pengantin, Benedicta Palomino dan Bladimir Marquez berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan, hotel tersebut dibina berdekatan dengan lereng bukit.
Anggota bomba, polis dan penduduk tempatan bekerja sepanjang malam menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan, lumpur dan batu. – AFP/AGENSI











