LUMUT – Polis mengeluarkan 18 saman kepada pelajar dari tiga buah sekolah di daerah Manjung dalam Ops Didik yang dilaksanakan pada 25 dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, operasi yang bermula pada pukul 6.45 pagi hingga 10 pagi itu dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manjung, SMK (C) Nan Hwa dan SMK Batu 10 Lekir.
“Antara kesalahan pelajar adalah tiada lesen memandu (5), tidak memakai topi keledar (12) dan tiada cermin sisi motosikal (1).
“Dalam operasi pada kali ini, seramai dua pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung serta tiga anggota JPJ terlibat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, polis turut mengadakan program keselamatan jalan raya yang bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar sekolah dan keselamatan pelajar semasa pergi serta pulang dari sekolah.
“Selain itu, kita juga memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya memakai topi keledar demi keselamatan diri dan beberapa undang-undang lain lagi,” katanya.
Ops Didik dilaksanakan di sekitar sekolah di Daerah Manjung bagi mendidik pelajar yang selama ini tidak mengendahkan peraturan jalan raya. – K! ONLINE











