GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) membawa keluar seorang budak lelaki Orang Asli dari Kampung Pahong, Pos Bihai yang mengalami demam panas kritikal untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang, di sini semalam.
Mangsa, Asaska Isma, 13, yang turut mengalami demam panas, cirit birit dan kerap muntah sejak empat hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kira-kira pukul 12 tengahari tadi.
Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Subang pada pukul 1 petang.
“Kami tiba di Kampung Pahong pada pukul 2.05 petang menggunakan pesawat MI-17-IV dan telah mendarat di pekarangan padang Pusat Sivik Gua Musang sekitar 2.50 petang.
“Pesakit yang lemah dan tidak boleh berjalan itu diangkat menggunakan pengusung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pesakit bersama pengiring iaitu bapanya, Isma Along, 36, kemudiannya telah dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan kecemasan (EMRS) JBPM.
“Penerbangan ini diketuai oleh juruterbang Leftenan Kolonel Sobri Md. Jaeh dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azuna Mohamed Sabri bersama tujuh lagi anggota,” katanya.
Menurut Mohd. Farhan, keluarga mangsa tidak dapat membawa keluar mangsa kerana jalan balak yang menghubungkan ke bandar Gua Musang mengalami kerosakan sejak lebih sebulan lalu akibat hujan lebat.
Katanya, kenderaan biasa masih tidak boleh melalui laluan tersebut menyebabkan keluarga mangsa meminta bantuan pengangkutan udara. – K! ONLINE











