Restoran mamak diarah tutup 14 hari kerana tidak bersih - Utusan Malaysia

Restoran mamak diarah tutup 14 hari kerana tidak bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebuah restoran mamak di Jalan Metro Perdana Timur 3, Kepong di sini diarahkan tutup selama 14 hari kerana tidak mematuhi piawaian kebersihan dalam Operasi Pemeriksaan Perbahasaan Halal hari ini.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 12 tengahari dan berakhir pada pukul 3.30 petang itu, sebanyak tiga restoran mamak telah diperiksa yang disertai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Wilayah (JAWI) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, restoran tersebut telah diarahkan menghentikan operasinya kerana mempunyai masalah kebersihan.

“Keadaan sekitar premis kotor terutamanya di kawasan dapur. Kita lihat ada najis dan anak lipas yang berkeliaran di sekitar tempat mereka menyediakan makanan.

“Mereka perlu membersihkan kawasan premis dan melapor kembali kepada  DBKL yang akan melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan samada mereka boleh beroperasi semula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi di Kepong di sini hari ini.

Ummi Nasrah menambah, restoran tersebut juga telah dikenakan denda oleh pihaknya kerana tidak mempamerkan tanda harga pada makanan dengan menyeluruh.

“Ada makanan yang tiada tanda harga dan kita kenakan kompaun sebanyak RM300 mengikut Akta Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit 1993).

“Pihak JAWI juga telah keluarkan surat amaran kepada pemilik premis kerana meletakkan tabung sumbangan derma di kaunter mereka dan ia menyalahi Seksyen 84 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993,” ujarnya.

Akta tersebut menetapkan bahawa pungutan derma perlu mendapat kebenaran daripada pihak JAWI dan jika tidak boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×