[VIDEO] Kementerian Wilayah salur bantuan kepada mangsa kebakaran - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kementerian Wilayah salur bantuan kepada mangsa kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kementerian Wilayah Persekutuan akan membantu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan kediaman kepada lebih 20 kakitangannya yang hilang tempat tinggal ekoran kebakaran kuarters didiami mereka di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, di sini pagi tadi.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, hasil pertemuan dengan KTMB,  pihaknya akan memberikan bantuan penyediaan dan peralatan rumah untuk mangsa.

“Saya diberitahu, terdapat dua keluarga yang sebelum ini menetap di kuarters itu akan diberikan rumah hari ini juga, manakala bagi mangsa yang bujang akan mengambil masa sedikit.

“Bagaimanapun, dari segi pengangkutan, KTMB akan sediakan untuk urusan pergi dan balik kerja kerana saya difahamkan ada beberapa kenderaan turut musnah dalam kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, bantuan segera sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada setiap keluarga dan kakitangan yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kesemua yang terlibat adalah pekerja di bahagian operasi Wilayah Tengah antaranya pemandu kereta api, penyelenggara trek, depoh dan sebagainya.

“Kita akan carikan penempatan baharu untuk mereka secepat mungkin dan mereka diberikan pelepasan selama dua hari untuk menyelesaikan urusan berkaitan bencana ini,” katanya ketika ditemui di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×