KUALA LUMPUR – Bersembunyi di dalam stor menyimpan barangan tiruan antara taktik yang digunakan oleh individu untuk melepaskan diri daripada pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Dalam Ops Barang Tiruan yang bermula kira-kira pukul 12 tengahari yang disertai oleh tujuh anggota itu menemui wanita berusia pertengahan 30-an bersembunyi di sebalik timbunan barangan dalam salah satu daripada tiga stor simpanan barang tiruan yang diserbu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, pihaknya menemui sebanyak 5,295 unit beg tangan tiruan berjenama terkenal dalam tiga stor berkenaan.
“Ketika sampai ke lokasi, didapati kesemua stor berkunci dan kita terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memecahkan kunci tersebut.
“Di stor pertama, tiada pemilik ditemui dan di stor kedua, ada seorang wanita bersembunyi didalamnya manakala di stor ketiga pula, pemiliknya mengaku kepada kami tidak lama kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDNHEP di sini hari ini.

Difahamkan pemilik stor ketiga itu pernah diserbu pada 9 Disember lalu untuk kesalahan yang sama.
Swee Hon menambah, nilai kesemua rampasan adalah berjumlah RM527,000.
“Serbuan itu dijalankan kerana kita menerima aduan daripada pemilik cap dagang rasmi antaranya Louis Vuitton, Longshorm, Carlo Rino dan Bonia dan risikan oleh pihak kami.
“Pihak kami telah mengambil keterangan dua individu tersebut manakala seorang lagi pemilik stor masih dikesan,” ujarnya.
Sementara itu, pihak KPDNHEP Kuala Lumpur telah merampas 5379 unit barangan tiruan bernilai RM545,000 bermula awal bulan ini hingga hari ini.
Bagi tahun lalu, mereka telah merampas barangan bernilai RM9.21 juta daripada 92 kes yang dikenal pasti. – K! ONLINE









