NABAWAN 28 Jan. – Pengalaman pesara polis dalam aspek pentadbiran dan hal ehwal keselamatan boleh diaplikasikan di kawasan masing-masing untuk membantu mengurus tadbir kampung mereka.
Justeru, Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Pensiangan Ahuar Rasam menggalakkan pesara polis khususnya di daerah ini untuk memberikan sumbangan mereka dalam pentadbiran di kampung.
“Pengalaman mereka itu harus diguna dengan baik bagi membantu penduduk setempat untuk memastikan kampung itu dapat diurus dengan sebaiknya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Nabawan di sini, semalam.
Menurutnya ketika masih bertugas sebagai anggota polis, mereka melakukan apa sahaja semata-mata untuk memastikan keselamatan orang awam dan komitmen itu masih ada pada diri mereka apabila bersara.
Dalam pada itu, beliau berkata pewujudan persatuan bekas polis dari peringkat akar umbi penting dalam menjaga kebajikan pesara polis secara berterusan.
Katanya antara perkara yang masih perlu diperjuangkan oleh persatuan itu adalah nasib pesara polis era 1960-an yang tidak sempat diserap sebagai kakitangan tetap dan berpencen menyebabkan kehidupan mereka kini terabai.
Menurutnya nasib pesara polis itu harus sentiasa dikemukakan kepada kerajaan bagi membolehkan pendekatan sesuai diambil untuk membantu mereka. – BERNAMA









