SEREMBAN 28 Jan. – Polis berjaya menemukan sepucuk pistol jenis Revolver yang dipercayai digunakan seorang imam di Nilai di sini semasa berselisih faham dengan isterinya berhubung dua batang pokok rambutan pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menanam pistol itu di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor.
“Suspek yang ditahan kerana memukul isterinya pada hari kejadian pada mulanya menafikan ada memiliki atau melepaskan tembakan.
“Bagaimanapun pada 26 Januari lalu suspek telah mengaku menyimpan pistol dan melepaskan tembakan semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, polis menemukan pistol itu ditanam di satu kawasan di Kampung Sungai Pinang semalam dan turut menjumpai beberapa butir peluru disorokkan dalam sampul surat di atas rak besi di belakang rumahnya di Kampung Bukit Kadir, di sini.
Tambahnya, polis turut merampas satu gari polis disorok di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta suspek, satu sarung pistol dan 90 butir peluru shortgun yang disorok dalam stor kayu di hadapan rumah suspek.
Lelaki tersebut ditahan polis baru-baru ini selepas dipercayai memukul isterinya dan melepaskan tembakan ekoran berang dengan tindakan wanita itu memajak dua pokok rambutan yang sedang berbuah. – UTUSAN ONLINE









