KUALA LUMPUR 28 Jan. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menitikberatkan aspek keselamatan elektrik terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini.
Menurut TNB menerusi kenyataan, pengguna disarankan agar tidak membebankan soket dengan penggunaan adapter elektrik secara berlebihan bagi mengelakkan bebanan tinggi.
“Pengguna juga diminta untuk tidak memasang atau menggantung apa jua bahan termasuk bagi tujuan perayaan di kabel dan pepasangan elektrik TNB kerana terdapat risiko renjatan elektrik dan percikan arka.
“Bebanan tinggi, renjatan elektrik dan percikan arka boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang membawa kepada ketidakselesaan dan lebih buruk lagi merosakkkan harta benda dan mengancam nyawa,” jelas syarikat itu, hari ini.
Tambah kenyataan itu, pengguna turut dinasihatkan supaya tidak memasang suis elektrik dengan tangan basah dan memastikan peralatan elektrik sentiasa dalam keadaan yang baik.
“Untuk sebarang aduan mengenai bekalan elektrik dan pemakluman berkaitan kejanggalan pepasangan TNB, pengguna boleh menghubungi TNB di Facebook TNB CareLine atau 15454,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE.









