[VIDEO] 'Chup Badui Sikulah' tarik murid Orang Asli ke sekolah - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Chup Badui Sikulah’ tarik murid Orang Asli ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Program ‘Chup Badui Sikulah’ berjaya menarik lebih ramai murid Orang Asli suku Bateq untuk hadir ke sekolah sekitar Taman Negara Kuala Tahan. 

Program yang dijalankan sejak tahun lalu itu semakin mendapat sambutan di kalangan murid suku Bateq untuk menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan Malaysia, Shaari Osman berkata, program tersebut akan diperluaskan ke sekolah lain yang mempunyai suku Bateq teruatama di Kelantan.

“Fokus utama kita adalah untuk menarik minat murid-murid suku Bateq datang ke sekolah sama ada rendah atau menengah.

“Hari ini saya berkesempatan menyambut ketibaan murid-murid menggunakan bot dan saya amat teruja melihat semangat mereka untuk hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolah berkenaan hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa perubahan yang dapat dilihat hasil daripada program tersebut apabila semua murid suku Bateq datang dengan pakaian sekolah yang lengkap.

“Sebelum ini mereka datang dengan memakai pakaian biasa dan tukar di sekolah tetapi kini sudah berubah malah mereka lebih bersemangat untuk menuntut ilmu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

“Hari ini juga kita akan adakan ziarah cakna untuk mendampingi ibu bapa dan melihat sendiri kehidupan mereka di perkampungan Orang Asli di Dedari,” jelas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×