KUALA LUMPUR 27 Jan. – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga Ireland yang dilaporkan hilang hampir sebulan yang lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, lelaki berkenaan, Stephen Warde, 32, kali terakhir dilihat pada 28 Disember tahun lalu di Mercu Summer Suites, Jalan Cendana Off Jalan Sultan Ismail, di sini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali keluarga mangsa bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Pusat Kawalan Daerah Dang wangi 03-26977099,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu sidang akhbar memberitahu, usaha untuk mengesan lelaki tersebut sedang giat dijalankan.
Menurut Mazlan, Warde sepatutnya keluar daripada rumah sewa berkenaan pada 29 Disember lalu namun tidak berbuat demikian dan barangan peribadinya juga masih berada di lokasi tersebut.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati pasport lelaki itu belum melepasi pemeriksaan Imigresen untuk keluar dari negara ini. – UTUSAN ONLINE











