MULA menunggang motosikal pocketbike seawal usia empat tahun, Muhammad Harith Haziq Zamri memasang impian besar bergelar pelumba MotoGP sebaik menginjak usia 20 tahun.
Keluarga Harith yang berniaga makanan, sentiasa memberi sokongan padu terhadap minat pelumba muda itu sejak perlumbaan pertamanya.
Ketika berusia sembilan tahun, dia sudah menyertai liga pocketbike dan berani memecut pada kelajuan mencecah lebih 120 kilometer/sejam di atas trek go-kart.
Di situ, dia menimba pengalaman tentang teknik tunggangan dan meraih lebih 30 kemenangan.
Harith kini berada di landasan untuk mencapai impian beraksi di peringkat lebih tinggi selepas terpilih menyertai program ‘Impian ke MotoGP’ yang dicetuskan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pada usia yang kini mencecah 15 tahun, Harith muncul peserta termuda daripada lima pelumba yang terpilih dalam program SIC.
Sepanjang setahun dalam program tersebut, dia banyak mempelajari teknik memantapkan kemahiran menunggang, selain menyertai dua kejohanan iaitu Cup Prix dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2018.
Menjadikan Hafizh Syahrin Abdullah sebagai idola, Harith jelas seorang yang berjiwa besar dan menjadi antara pelumba muda berbakat di bawah bimbingan Zulfahmi Khairuddin.
“Saya mula minat sukan permotoran ketika melihat perlumbaan dalam televisyen. Lepas itu saya minta ayah belikan motor dan dari situ ayah ajar saya cara menunggang.
“Kalau boleh nak muncul pelumba termuda Malaysia beraksi dalam MotoGP,” katanya.
Beraksi dalam kelas Super 250cc menggunakan motosikal Kawasaki, Harith mengakui selesa menggunakan jentera berkenaan.
Bakal mengambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini, pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang itu mengakui perlu membahagikan masa belajar dan berlumba.
“Walaupun seorang pelumba tetapi saya perlu bijak membahagikan masa belajar dan berlatih.
“Ibu bapa banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya bagi mencapai impian bergelar pelumba MotoGP suatu hari nanti,” jelasnya lagi.










