ABU DHABI 27 Jan. – Penjaring gol kemenangan Jepun dalam suku akhir, Ritsu Doan percaya, menentang Iran dalam separuh akhir Piala Asia 2019 adalah amat berbaloi.
Skuad Samurai Blue yang memerlukan sepakan penalti Doan untuk menyingkirkan juara Asia Tenggara, Vietnam 1-0 pada suku akhir akan berdepan laluan getir Iran di Stadium Hazza bin Zayed, Al Ain esok.
“Mereka adalah pasukan yang amat kuat, ia memang berbaloi menentang lawan yang begitu berkualiti seperti Iran untuk memburu tiket ke final.
“Hanya pasukan terkuat layak bergelar juara Asia, jadi kami hanya akan diangkat sebagai juara sebenar jika mengalahkan lawan hebat seperti Iran,” kata bintang tengah kelab Belanda, FC Groningen itu.
Penyerang Jepun, Kitagawa Koya pula percaya, jika berjaya mengalahkan Iran mereka akan memasuki perlawanan akhir dengan keyakinan yang tinggi kerana pasukan itu dianggap pencabar terkuat Piala Asia 2019.
“Iran memiliki barisan yang jauh berbeza daripada sebelum ini.
“Mereka memiliki ramai pemain berbakat yang mampu memberi cabaran hebat kepada kami.
“Begitupun, saya tetap yakin kami boleh memenangi perlawanan ini,” ujar penyerang kelab Shimizu S-Pulse itu.
Sementara itu, bintang penyerang Iran, Sardar Azmoun percaya, pasukannya adalah pencabar dominan dalam Piala Asia biarpun kejuaraan terakhir mereka hanya hadir 43 tahun lalu.
Jika Jepun tampil selaku juara 2011, 2004, 2000 dan 1992, Iran yang terkenal dengan julukan Team Melli pula pernah muncul juara pada 1976, 1972 dan 1968.
Skuad bimbingan Carlos Queiroz melangkah ke separuh akhir selepas membenam China 3-0.
“Kami sedar Jepun adalah pasukan yang kuat dan kami amat berharap mampu menewaskan mereka.
“Saya percaya, pasukan kami telah menunjukkan semangat yang amat tinggi sepanjang kempen Piala Asia kali ini.
“Kami benar-benar bersatu sebagai satu pasukan dan bersedia mengalahkan mana-mana lawan.
“Harap semua penyokong mendoakan kejayaan Iran kali ini,” kata Azmoun, yang beraksi dalam Liga Rusia bersama kelab Rubin Kazan. – AGENSI









