Golongan B40 disaran daftar dengan LPHP - Utusan Malaysia

Golongan B40 disaran daftar dengan LPHP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 27 Jan. – Golongan ber­pendapatan rendah (B40) dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan di negeri ini yang belum memiliki rumah pertama, diminta mendaftar diri dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendaftaran itu akan dijadikan panduan kepada kerajaan negeri bagi merancang pembinaan 50,000 unit perumahan mampu milik di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu melihat wujud ketidakseimbangan antara penawaran projek rumah mampu milik berbanding jumlah permohonan yang diterima.

“Jika merujuk kepada kajian pendapatan isi rumah di Perak pada tahun 2016, jumlah isi rumah yang berpendapatan kurang RM6,000 ke bawah adalah lebih daripada 80 peratus.

“Walau bagaimanapun, saya difahamkan jumlah mereka yang mendaftar dengan LPHP bagi tempoh antara Januari 2014 hingga November 2018 adalah tidak sampai 10,000 pemohon,” katanya ketika ber­ucap merasmikan majlis penyerahan kunci projek rumah mampu milik Casa Kayangan di Meru Raya, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong.

Dalam pada itu, Choo Kiong berkata, bagi membantu golongan B40, LPHP kini menumpukan kepada pembinaan rumah kos sederhana rendah dan rendah, masing-masing bernilai RM180,000 dan RM70,000 ke bawah.

Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan mana-mana pemaju yang membangunkan projek melebihi lapan hektar, 50 peratus daripadanya harus dibangunkan perumahan Rumah Perakku.

“Ini merangkumi 20 peratus rumah mampu milik, 20 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus lagi rumah kos rendah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×