PASIR SALAK 27 Jan. – Program Car Boot Sale Langkap 2019 membuka tirai penuh meriah dengan menampilkan 60 gerai bagi belia berniaga untuk meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi keluarga.
Berlangsung setiap hari Jumaat di tapak Pekan Rabu Langkap dekat sini, aktiviti jualan itu bermula dari pukul 8 malam hingga 2 pagi.
Pelbagai barangan boleh didapati termasuklah pakaian orang dewasa dan kanak-kanak, baju dan kasut terpakai, barang permainan, pewangi kereta, barangan kecantikan wanita, aksesori telefon

serta jualan barang antik.
Pengerusi Kelab Belia Sejagat (Kebas) Langkap, Muhammad Azizul Kasim berkata, penganjuran program itu berjaya direalisasi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang memberikan tapak untuk berniaga.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja menjadi medium terbaik kepada masyarakat di sini khususnya golongan muda untuk berniaga, malah mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk setempat.
“Tujuan kami mengadakan program car boot sale ini adalah untuk menggalakkan belia supaya menceburi bidang keusahawanan selain memupuk minat berniaga dalam kalangan mereka.
“Kami berasakan langkah ini dapat membantu menjana ekonomi belia sekali gus menterjemahkan aspirasi anak muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Azizul berkata, adalah menjadi harapan besar mereka supaya program berkenaan dapat dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain termasuk jualan murah barangan keperluan asas dan produk usahawan tempatan, trak makanan, pameran selain menjadi tempat bagi mendapatkan maklumat berhubung temu duga pekerjaan dan peluang melanjutkan pelajaran.
Sebagai langkah menarik lebih ramai pengunjung, Kebas turut mengadakan acara cabutan bertuah yang menyediakan sebuah motosikal sebagai hadiah utama selain pemberian 20 tiket masuk ke taman tema Lost World of Tambun.
Seorang pengunjung Norlidah Ishak, 33, berkata dia amat bersetuju dengan kewujudan car boot sale di Langkap kerana membantu peniaga-peniaga kecil untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan.
“Secara tidak langsung, saya lihat kawasan di sini nampak meriah kerana ada peniaga yang menjual barang-barang jarang ditemukan seperti tali pinggang tentera pada tahun 1950-an selain pelita lama berusia hampir 50 tahun.
“Saya harap lebih banyak gerai jualan dapat dibuka untuk memberi banyak pilihan kepada pembeli,” katanya.










