JOHOR BAHRU 27 Jan. – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highland semalam merupakan mesej daripada masyarakat yang menolak dengan jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu ekoran prestasi teruk yang ditunjukkan PH sejak mereka memegang kuasa selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Katanya, kemenangan itu turut membuktikan bahawa masyarakat negara ini masih yakin bahawa UMNO beserta Pas adalah sandaran terbaik masyarakat Melayu dan bumiputera, tanpa menafikan hak kaum lain.
“Di sebalik kehadiran pemimpin tertinggi PH, masyarakat Cameron Highland telah menghantar mesej jelas kepada pihak kerajaan.
“Masyarakat tidak akan sesekali membiarkan mereka terus diperdaya dengan janji yang akhirnya dimungkiri sesuka hati,” katanya.
Bekas Menteri Besar itu berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Semalam, calon BN, Ramli Mohd. Nor menewaskan tiga pencabarnya termasuk calon PH, M. Manogaran dengan majoriti 3,238 undi. – UTUSAN ONLINE











