MELAKA 27 Jan. – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seorang pelancong warga Perancis maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Limbongan dan Jalan Merdeka di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan pertama kira-kira pukul 2 pagi di Jalan Limbongan melibatkan dua buah motosikal yang bergesel sesama sendiri sebelum salah satunya terbabas dan merempuh pokok.
“Mangsa, Muhammad Bukhari Shafiee, 20, dari Kampung Bukit Beruang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan berikutan kemalangan tersebut manakala seorang lagi hanya cedera di lutut.

“Kemalangan kedua pula berlaku pukul 11.45 pagi di Jalan Merdeka melibatkan seorang pelancong lelaki warga Perancis, Tatarian Maurice, 64, yang maut selepas dirempuh kereta jenis BMW yang terbabas ketika terlibat dalam kemalangan dengan kereta Honda Jazz,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










