KUALA LUMPUR 27 Jan. – Kelemahan terbesar Pakatan Harapan (PH) adalah ketidakupayaan mengungkapkan wawasan bagi masa depan yang lebih baik untuk rakyat di Cameron Highlands dan seluruh negara.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PH masih belum menunjukkan kepada rakyat mengapa golongan berkenaan harus mengundi parti itu demi ekonomi yang lebih saksama dan inklusif untuk semua.
Tegas beliau, kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) negara ini juga tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata malah mereka memerlukan faedah yang boleh diukur.
Sehubungan itu, kata beliau, PH harus menjadikan buku harapan sebagai panduan kepada parti itu.
“Meskipun, kita tidak boleh melaksanakan sepenuhnya dasar-dasar dalam manifesto, ia seharusnya menggambarkan falsafah yang memberi tumpuan kepada rakyat secara keseluruhan dan bukan kelompok yang kecil.
“Pada hari-hari, minggu, bulan dan tahun akan datang, PH memerlukan naratif jelas untuk meyakinkan rakyat bahawa kita masih layak untuk kekal berkhidmat sebagai kerajaan.
“Ini adalah mesej yang mesti didokong oleh semua. PH akan gagal jika kita tidak bercakap dengan satu suara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE










