KULAI – Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan kemungkinan dikenakan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.
Beliau berkata Akta Pendidikan kini hanya mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga darjah enam sahaja.
“Kita sekarang dah capai lebih 98 peratus anak-anak bersekolah (di sekolah rendah) tetapi sasaran kita ialah 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Penidikan Daerah Kulai, hari ini.
Nie Ching berkata, program tersebut adalah lanjutan dari program ‘Sifar Murid Cicir’ yang dijalankan sejak Julai 2018. – Bernama










