KUALA LUMPUR 27 Jan. – Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan lain dipercayai lori dalam kejadian di Kilometer 10.3, Jalan Lingkaran Tengah (MRR2), malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Ampang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kenderaan dipercayai lori tersebut bertindak meninggalkan lokasi sejurus selepas kejadian.
“Siasatan awal mendapati, mangsa, Muhammad Hakimi Dali, 18 tahun, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bersendirian sebelum melanggar sebuah kenderaan dari arah belakang, yang disyaki sebuah lori.
“Kejadian berlaku di lorong kiri, dan pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi kejadian menemukan serpihan motosikal serta kenderaan lain di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Samsor, pihaknya sedang mengesan kenderaan terlibat dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar menghubungi pihak polis.
“Sehingga pagi ini, tiada lagi pemilik kenderaan lain tampil membuat sebarang laporan berhubung kejadian itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










