Jepun sokong produk halal sebagai gaya hidup sihat - Utusan Malaysia

Jepun sokong produk halal sebagai gaya hidup sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Produk makanan halal di Jepun bukan lagi semata-mata bersandarkan faktor keagamaan Islam tetapi turut sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat yang menjadi amalan rutin rakyatnya, kata Presiden Agro Malaysia, Datuk Seri G. Gnanaraja.

Tegasnya, negara Matahari Terbit itu juga terbukti memandang serius kepentingan produk makanan halal apabila memeterai memorandum kerjasama berkaitan halal Malaysia-Jepun pada 26 November  lalu yang turut mencetuskan Ekspo Halal Malaysia (MHE) 2019 yang berakhir di sini semalam.

“Jepun diakui merupakan sebuah negara yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat. Persahabatan kedua-dua negara juga sangat erat justeru sangat signifikan sekali gus memudahkan para usahawan kita menembusi pasaran halal di negara itu,” katanya.

Agro Malaysia katanya turut komited untuk memastikan para usahawan tempatan khususnya bumiputera Islam mengambil peluang menembusi pasaran halal di Jepun secara besar-besaran sempena MHE 2019.

Ekspo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan tema ‘Malaysia Ke Jepun Untuk Olimpik 2020’  itu melibatkan enam bidang produk halal iaitu makanan dan minuman, bahan ramuan, bioteknologi, kosmetik, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal serta logistik.

“MHE 2019 membuka peluang keemasan ini yang sekali gus menjadi permulaan penerokaan pasaran halal yang lebih luas ke Jepun selepas ini.

“Memasarkan lebih banyak produk halal Malaysia ke luar negara turut merupakan antara misi utama saya sejak menerajui Agro Malaysia, September lalu,” katanya selepas melawat 320 gerai pameran sempena MHE 2019.

Katanya, permintaan terhadap makanan halal diramalkan semakin tinggi di Jepun sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 24 Julai hingga 9 Ogos yang turut dijangka menyaksikan kemasukan 40 juta pelancong asing dengan sebahagian besarnya Muslim.

Malaysia mengeksport makanan siap diproses bernilai AS$1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara-negara Asia Timur pada 2017 dengan Jepun merupakan destinasinya yang kedua terbesar dengan nilai AS$249 juta (RM972 juta).

Destinasi utama eksport ini ialah China yang bernilai AS$391.6 juta (RM1.56 bilion) diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×