BERLIN 27 Jan. – Ketua jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac mengakui bahang perebutan Bundesliga semakin dirasai apabila penyandang juara itu ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Bourussia Dortmund.
Dortmund membelasah Hanover 5-1 dalam aksi liga semalam dan itu menyebabkan Bayern jatuh ke tangga ketiga selepas Borussia Moenchengladbach mengambil alih tempat mereka di kedudukan kedua selepas menewaskan Augsburg 2-0.
Bayern yang akan melayan kunjungan kelab ketiga tercorot, VfB Stuttgart di Arena Allianz malam ini dan Kovac kelihatan seperti sudah hilang sabar apabila sering ditanya mengenai perebutan liga di antara mereka dengan Dortmund.
“Kami bukan menentang BVB (Dortmund) tetapi kami menentang VfB dan kami perlu menewaskan mereka terlebih dahulu.
“Tidak banyak kesilapan yang dilakukan Dortmund ketika ini, namun masih ada baki 16 perlawanan,” kata Kovac.
Ketinggalan sembilan mata, Bayern perlu merapatkan jurang perbezaan mata malah mereka perlu elak daripada tewas mengejut menentang Stuttgart yang sebelum ini tewas tiga kali dalam perlawanan terakhir mereka. – AFP










