CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Tindakan telah diambil terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan meminta beliau keluar daripada pusat mengundi setelah didapati memakai pakaian yang mempunyai logo parti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, adalah menjadi kesalahan apabila terdapat pihak membawa bahan kempen termasuk lambang parti di tempat mengundi atau dalam jarak 50 meter dari lokasi mengundi.
“Saya telah diberitahu perkara itu (tindakan pakai baju berlogo parti) sebentar tadi dan saya rasa pihak pemantau pilihan raya perlu menegur beliau.
“Bagaimanapun, tindakan telah diambil dengan meminta beliau keluar daripada kawasan tempat mengundi kerana dalam kawasan tersebut dan 50 meter darinya, tiada sesiapa dibenarkan membawa bahan kempen dan logo parti,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ringlet di sini hari ini.
Dalam pada itu, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti dalam perkarangan pusat pengundian yang disifatkan sebagai sengaja mencabar akta SPR.
Malah beliau mendakwa, banyak perkara yang bertentangan akta SPR dilakukan calon PH bersama jenteranya bermula sejak hari penamaan seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka serta ugutan terhadap tok batin.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa yang mereka suka,” katanya.








