KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands memberikan banyak mesej tentang suasana politik negara ketika ini, terutamanya penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).
Kekalahan PH amat mengejutkan, memandangkan mereka sudah cukup berkuasa sehinggakan mampu ‘membelasah’ kerajaan negeri Pahang sebagai berhutang dan mempertikaikan keupayaan melaksanakan pembangunan.
Ini belum ditambah lagi dengan langkah Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor di Gua Musang, Kelantan yang dilihat pemerhati sebagai usaha memenangi hati Orang Asli.
Namun apa gunanya jika berkuasa, tetapi gagal melaksanakannya. PRK Parlimen Cameron Highlands adalah ukuran sebenar sejauh mana prestasi dan penerimaan PH oleh rakyat, setelah lebih enam bulan mentadbir negara.
PH perlu membayar harga yang mahal akibat kegagalan memenuhi komitmen dan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
DAP yang mewakili PH tetap gagal untuk mendapatkan Cameron Highlands, walaupun ramai pemimpin gergasi turun berkempen termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bersungguh-sungguh mahu partinya menambah kerusi Parlimen.
Kemenangan itu amat bermakna buat Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan yang pertama kali mengetuai BN untuk berdepan PRK.
Bukan senang mengetuai sebuah parti yang hampir hilang segala-galanya dan teruk dicaci.
Fakta penting yang tidak boleh diketepikan kali ini ialah kerjasama UMNO dan Pas. Keputusan Cameron Highlands membuktikan bagaimana kerjasama kedua-dua parti berjaya dan seharusnya diteruskan dalam pilihan raya lain.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, momentum kesepaduan orang Melayu dalam PRK ini berjaya dipamerkan menerusi kerjasama UMNO dan Pas.
Beliau percaya jika kerjasama itu diteruskan dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, BN akan kembali mendapatkan kerusi tersebut.
Mungkin terlalu awal untuk menyatakan BN kini boleh merampas kembali Putrajaya, tetapi kemenangan di Cameron Highlands amat signifikan untuk membuktikan PH goyah dan Malaysia baharu tidak cukup sifat untuk diterima oleh semua orang.
Ada tuduhan kononnya BN dan UMNO memainkan isu perkauman yang membantu parti pembangkang itu mencapai kemenangan. Tetapi siapa boleh lupa, mereka yang menuduh UMNO rasis itulah yang berkata, ‘Orang Melayu tidak beli kuih dari gerai Orang Asli dan orang Melayu tidak akan mengundi Orang Asli’.
Apa yang pasti, Orang Asli lebih layak mendapat kerusi Parlimen daripada membiarkan DAP menambahkan satu lagi.










