Iran tak gentar jumpa Jepun - Utusan Malaysia

Iran tak gentar jumpa Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI – Jurulatih Iran, Carlos Queiroz memberi amaran kepada Jepun bahawa mereka tidak akan memberi ruang kepada skuad yang diberi jolokan Samurai Biru itu apabila kedua-dua pasukan bertemu pada saingan separuh akhir Kejohanan Piala Asia AFC 2019 malam Isnin depan.

Iran menempah tiket ke pusingan separuh akhir dengan mem­belasah China 3-0 di suku akhir awal pagi semalam, manakala Jepun pula menewaskan Vietnam 1-0 menerusi sepakan penalti.

Kejayaan Iran menewaskan China yang dibimbing oleh Marcelo Lippi itu menyaksikan mereka kini dilabel sebagai antara pasukan pilihan dalam kempen kali ini.

Namun, Queiroz menegaskan bahawa Iran tidak sepatutnya dilabel sebagai pasukan pilihan memandangkan juara bertahan, Australia serta gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan turut berpeluang meneruskan perjuangan mereka di Piala Asia.

“Sekarang ini pasukan-pasukan hebat Asia akan datang bertemu dengan kami. Jujurnya, Iran bukan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan ini kerana masih ada pasukan Jepun dan juga Korea Selatan.

“Jadi kami harus lebih berhati-hati dan perlu memberi aksi yang lebih bertenaga. Apa yang kami lakukan ketika menewaskan pasukan China sebenarnya masih belum cukup,” kata Queiroz.

Piala Asia 2019 menyaksikan Iran menyamai rekod Korea Selatan yang berjaya mengharungi lima perlawanan tanpa bolos sebarang gol.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mohammad Bin Zayed itu menyaksikan penyerang, Mehdi Taremi meledakkan gol pembukaan seawal minit ke-18 disusuli jaringan kedua daripada Sardar Azmoun di minit ke-31.

Gol ketiga Iran dijaringkan oleh penyerang, Karim Ansarifard pada waktu kecederaan.

Kekalahan memalukan itu menyebabkan jurulatih China, Marcello Lippi bertindak meletakkan jawatan. – Agensi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×