TEMERLOH 25 Jan. – Sifat mesra rakyat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan sahaja disanjung oleh segenap lapisan masyarakat di negeri ini malah turut dihormati orang luar.
Berkongsi pengalaman mengenai keperibadian baginda, Pengarah Kolej Komuniti Baling di Kedah, Sobah Abdul Hamid mengakui teruja melihat kemesraan antara rakyat dan pemerintah dalam satu majlis.
“Saya menghadiri satu majlis perkahwinan di sini pada 12 Januari lalu dan tidak menyangka baginda turut mencemar duli hadir bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Saya lihat baginda berdua mudah didekati malah sempat beramah mesra dengan tetamu sepanjang perjalanan menuju ke tempat yang dikhaskan selepas keluar dari kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Sobah, pada awalnya dia beranggapan majlis tersebut berlangsung mengikut protokol namun sebaliknya apabila ramai tetamu kelihatan ingin bergambar bersama baginda berdua.
“Saya agak terkejut apabila melihat orang ramai berswafoto dengan baginda. Saya tidak ketinggalan mencuba nasib untuk bergambar kenangan,” ujarnya.
Tambahnya, dia tidak menyangka Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sudi berswafoto malah baginda bertanya khabar dan berbual dengannya.
“Secara peribadi saya amat kagum dengan baginda berdua dan rakyat Malaysia sangat beruntung apabila baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.











