KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan perlu mengkaji sumber pendapatan baharu bagi mengurangkan pergantungan kepada industri minyak kerana harga komoditi dunia itu semakin tidak menentu dan suram tahun ini.
Ketua Strategi Penyelidikan Perbendaharaan OCBC Bank, Selena Ling berkata, Malaysia mungkin menghadapi kekurangan hasil jika harga minyak dunia kekal pada paras semasa sekitar AS$50 (RM206.62) setong hingga akhir tahun.

Katanya, antara sumber perolehan cukai baharu yang berpotensi dilaksanakan adalah cukai digital, levi pelepasan dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).
“Meskipun begitu, saya tidak merasakan kerajaan wajar menyemak semula Belanjawan 2019 berdasarkan kedudukan semasa harga minyak.
“Jika dilihat pada harga purata, secara relatifnya stabil dan mungkin dalam bajet Oktober 2019 akan datang, kerajaan menyemak semula unjuran harga minyak,” katanya pada seminar 2019 Outlook: A Brave New World di sini hari ini.
OCBC Bank menjangkakan harga purata West Texas Intermediate pada AS$58 (RM239.68) setong tahun ini manakala minyak mentah Brent pada AS$63 (RM260.35) setong.
OCBC Bank turut menjangkakan 2019 akan kekal sebagai tahun yang mencabar bagi Malaysia dan mengunjurkan pertumbuhan sederhana 4.4 peratus susulan ekonomi dunia yang perlahan, selain penyepaduan fiskal dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Ling berkata, Malaysia dan ekonomi terbuka lain dalam ASEAN, seperti Thailand dan Singapura, lebih terdedah kepada kedudukan perdagangan.
Jelasnya, tahap kelembapan banyak bergantung kepada krisis perdagangan AS-China, penyusutan ekonomi China serta prestasi pasaran komoditi.
“Pertumbuhan juga akan dipengaruhi isu bekalan dalam sektor yang dipacu komoditi seperti pertanian dan perlombongan, walaupun sektor perkilangan meraih penambahan eksport disebabkan perang perdagangan AS-China pada suku ketiga 2018.
“Pada masa hadapan, isu bekalan mungkin akan terus memberi kesan ke atas sektor perlombongan manakala unjuran sektor perkilangan mungkin bergantung kepada hasil rundingan perdagangan,” katanya.











