JOHOR BAHRU 25 Jan. – UMNO memuji inisiatif kerajaan melancarkan skim insurans B40 mySalam, namun apa yang perlu difokuskan adalah menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana skim mySalam hanya melibatkan 3.69 juta orang daripada golongan B40.
Katanya, golongan masyarakat lain khususnya mereka dalam kalangan M40 juga berdepan

kekangan kewangan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Oleh itu, adalah lebih baik Kementerian Kesihatan fokus kepada pelaburan bagi menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang akan memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.
“Kita memerlukan hospital yang dapat meningkatkan nilai penjagaan kesihatan tanpa mengira tahap pendapatan individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung n skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
Tambah Mohamed Khaled, sehubungan itu langkah menambah baik kualiti penjagaan kesihatan awam merupakan dasar yang lebih inklusif dan berkesan.
“Skim insurans B40 ini tidak sepenuhnya selari dengan prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Piagam WHO 1948 mengisytiharkan kesihatan sebagai hak asasi manusia yang mana akses kepada perlu sama rata, berkualiti dan setiap rakyat dilindungi daripada risiko kewangan,” tambahnya.











