Kembara berbasikal bantu komuniti - Utusan Malaysia

Kembara berbasikal bantu komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTIVITI berbasikal santai pada hujung minggu atau cuti umum kini dilihat bukan lagi sekadar untuk menyihatkan badan, tetapi juga mengeratkan silaturahim.

Mungkin sukar untuk seseorang itu terus kekal dengan minat berkenaan kerana berasa bosan atau jemu untuk terus mengayuh basikal walaupun destinasinya berbeza.

Rentetan dari itu, Kelab Berbasikal Bangi (BCC) menganjurkan program kayuhan bersama-sama ahli dan komuniti setempat yang diisi dengan program yang bermanfaat.

Presidennya, Faisal Riza Abdul Rahim berkata, langkah tersebut diambil agar menyertai kelab atau persatuan basikal tidak dianggap sebagai satu hobi yang tidak memberi manfaat kepada ahli dan komuniti setempat.

“Saya akui matlamat berbasikal adalah untuk sihat, tetapi kena ada program atau aktiviti yang bukan hanya bermanfaat kepada ahli tetapi juga komuniti setempat seperti badan-badan kebajikan.

“Lagipun, kalau sekadar kayuh dan selepas itu balik rumah, mungkin pada awalnya suatu yang menyeronokkan, tetapi bila sudah lama pasti membosankan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BCC ditubuhkan pada 2013 tetapi didaftarkan secara rasmi dengan Pesuruhjaya Sukan, Kementerian Belia dan Sukan setahun kemudian.

Setakat ini, kelab yang mempunyai 67 ahli berdaftar itu telah menganjurkan beberapa program komuniti setempat selain mengadakan aktiviti kayuhan bersama ahli dan komuniti setempat.

Antara program yang menjadi tumpuan adalah Kayuhan Amal Bangi (Bangi Charity Ride). Program dimulakan pada 2016 itu bertujuan mengumpulkan dana bagi membantu badan-badan kebajikan sekitar Bangi, Selangor.

Berkongsi lebih lanjut Faisal Riza berkata, pengisian program kebajikan atau kemanusiaan bukan hanya memberi peluang kepada ahli untuk menyumbang tetapi juga sebagai ibrah atau pengajaran kepada mereka.

Usaha itu juga memberi peluang kepada mana-mana anggota komuniti setempat memberi sumbangan atau bersedekah demi pembangunan ummah.

“Kami anggap program ini sebagai suatu platform atau saluran untuk ahli dan anggota komuniti menyumbang kepada mana-mana badan kebajikan dan kemanusiaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×