JAKARTA – Bilangan mangsa terkorban akibat banjir besar dan tanah runtuh yang melanda wilayah Sulawesi Selatan di Indonesia meningkat kepada 59 orang, kata pihak berkuasa semalam selepas hujan lebat turun di Pulau Sulawesi dan memaksa beribu-ribu orang berpindah.
“Saya tidak pernah melihat banjir seburuk ini, ini adalah yang paling buruk,” kata ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sulawesi Selatan, Syamsibar kepada agensi berita AFP sambil menambah, seramai 25 orang dilaporkan masih hilang.
Hujan lebat berterusan itu mengakibatkan air beberapa sungai melimpah dan menenggelamkan sekurang-kurangnya 11 kabupaten di Sulawesi Selatan. Sebahagian bandar Makassar juga terjejas.
Daerah Gowa dilaporkan paling teruk terjejas dengan seramai 44 orang terkorban, kata Syamsibar.
Kira-kira 3,400 mangsa dipindahkan dan ditempatkan di beberapa buah sekolah, masjid dan khemah.
Pasukan penyelamat dan penduduk terpaksa meredah jalan yang dinaiki air sehingga paras pinggang untuk menyelamatkan barang-barang mereka.
“Saya tidak dapat menyelamatkan harta benda kerana rumah saya dihanyutkan banjir,” kata seorang penduduk Makassar, Ayu Fiskarina kepada AFP.
Pihak berkuasa mengatakan air banjir kini surut di sesetengah tempat tetapi impak bencana itu meluas, menyaksikan banyak kediaman, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan sama ada musnah atau rosak.
“Semua penduduk di kawasan ini telah dipindahkan ke sebuah masjid kecuali seorang wanita yang enggan meninggalkan rumahnya kerana dia takut harta bendanya dicuri,” kata pegawai polis Makassar, Ardal. – AFP











