Wacana si lancang Kangana Ranaut - Utusan Malaysia

Wacana si lancang Kangana Ranaut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyebut sepotong nama figura jelita, Kangana Ranaut, dia bukan orang baharu dalam industri perfileman Bollywood. Kelantangannya dalam membentangkan pendapat acap kali memercik kontroversi sehingga segelintir pemerhati industri melabelnya sebagai wanita yang bermulut celupar.

Itu belum lagi ditolak campur kontroversi hubungan cintanya dengan aktor berbadan sasa, Hrithik Roshan yang gagal menemui jalan bahagia. Akibatnya, hubungan manis yang difahamkan terjalin ketika penggambaran filem Krrish 3 bertukar menjadi pahit.

Biarpun tidak dapat dipastikan sejauh mana hubungan percintaan antara Kangana dengan Hrithik, tetapi kegagalan memeterai akur janji sebagai suami isteri telah menyebabkan mereka menjadi musuh apabila saling saman menyaman antara satu sama lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kontroversi

Pernah dalam satu temu bual, Kangana, 31, mengherdik Hrithik tidak bertindak seperti seorang ‘lelaki’ berhubung kontroversi yang tercetus antara mereka.

“Saya cuma ingin tahu mengapa lelaki India tidak mampu untuk pertahankan diri mereka sendiri. Mengapakah seorang lelaki yang berusia 43 tahun suka bersembunyi di belakang bapanya demi menyelamatkan diri daripada kontroversi.

“Hrithik seorang lelaki dewasa dan saya rasa dia sendiri boleh berdepan dengan segala perkara yang berlaku dalam hidupnya. Bukan bergantung kepada bapanya, Rakesh yang perlu menjawab bagi pihaknya. Saya betul-betul tidak mengerti,” getus Kangana ketika diminta mengulas tuduhan bapa Hrithik yang mendakwa dia seorang kaki gaduh.

Faktanya, Kangana sememangnya terkenal sebagai selebriti kaki gaduh di Bollywood. Baru-baru ini, dia meluahkan rasa sakit hati apabila bintang-bintang baharu seperti Alia Bhatt, Deepika Padukone, Anushka Sharma dan Sonakshi Sinha tidak mengendahkan kewujudannya dalam satu acara.

“Saya selalu memuji lakonan pelakon yang memberi impak. Namun, saya tidak menerima layanan sama daripada mereka, seolah-olah saya tidak wujud. Walhal, filem lakonan saya mendapatkan kutipan pecah panggung,” katanya.

Tidak hanya kehidupan peribadinya penuh dengan kontroversi, malah kerjayanya sebagai penerbit dan aktres juga berdepan hal serupa apabila dia menerima ugutan daripada persatuan Shri Rajput Karni Sena yang memprotes penerbitan filem biopik terbaharu arahan dan lakonannya, Manikarnika: The Queen of Jhansi.

Diugut

Shri Rajput Karni Sena merupakan persatuan sama memprotes filem kontroversi Padmaavat pada tahun lalu dan telah mengugut untuk menghancurkan karier lakonan Kangana andai filem Manikarnika: The Queen of Jhansi terus ditayangkan di pawagam. Mereka difahamkan tidak berpuas hati dengan gambaran busana yang digunakan aktres itu untuk menggambarkan watak permaisuri Rani Laxmibai (Manikarnika) dalam filem tersebut.

“Ahli sejarah sudah meluluskan filem ini dan kami telah memiliki surat kelulusan. Persatuan tersebut bukan hanya ingin menyampaikan ‘dakwah’ mereka, tetapi mengugut saya.

“Kalau mereka tidak berhenti, mereka juga patut tahu bahawa saya seorang rajput (pejuang) dan akan menghancurkan setiap seorang daripada mereka,” katanya dalam satu sidang media di India, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dirinya akan melakukan permohonan maaf terhadap persatuan tersebut, Kangana mendengus seraya menolak sekeras-kerasnya persoalan berkenaan.

“Saya tidak akan minta maaf kepada sesiapa. Saya tidak akan meminta maaf untuk perkara yang saya rasa tidak salah untuk dilakukan.

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan, filem Manikarnika: The Queen of Jhansi tidak mempamerkan sebarang visual mahupun dialog yang menyentuh sensitiviti. Rani Laxmibai gelaran yang dimiliki Manikarnika selepas berkahwin dengan maharaja kerajaan Jhansi (watak yang dimainkan Kangana) adalah simbolik kebanggaan orang India dan semua orang patut menyokong filem ini,” dedahnya lagi.

Cabaran

Mengulas lanjut tentang filem biopik tersebut, Kangana secara terbuka menjelaskan, satu kebanggaan buat dirinya sebagai anak seni apabila berpeluang membawakan watak seorang legenda seperti Rani Laxmibai.

Meskipun begitu, banyak cabaran terpaksa ditempuh untuk menyiapkan filem yang memakan bajet sebanyak Rs 125 crore atau AS$17.5 juta (RM72 juta) itu.

“Besi pelindung yang saya gunakan dalam filem ini beratnya lebih kurang lima kilogram. Setiap hari penggambaran akan bermula seawal pukul 3 pagi.

“Menyiapkan segala perkara berkaitan set penggambaran dan kostum mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh jam. Jadi, kami hanya akan menjalani penggambaran lebih kurang satu atau dua babak sehari. Bayangkan betapa kompleksnya filem ini,” kata Kangana kepada akhbar Mid Day.

Paling mengujakan karya biopik ini merupakan filem pertama arahannya. Kangana terpaksa mengambil alih kerusi sutradara selepas pengarah asal, Krish difahamkan menarik diri ketika filem berkenaan sudah separuh siap.

Menurut sumber, alasan sebenar mengapa Krish meletakkan jawatan sebagai pengarah adalah disebabkan gangguan dan keceluparan mulut Kangana yang akhirnya menyebabkan pengarah itu angkat kaki tanpa meninggalkan sebarang notis.

Tanpa rasa bersalah, Kangana mengambil alih peranan sebagai pengarah dan pada masa yang sama melunaskan wataknya sebagai Manikarnika. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Barangkali itu pegangan Kangana.

“Hari pertama memasuki set penggambaran sebagai pengarah adalah momen yang saya akan kenang sampai bila-bila.

“Kami bekerja sebagai satu kumpulan untuk memastikan Manikarnika ‘hidup’ dalam filem ini. Selepas filem ini sampai ke tangan saya, ia hanya idea yang dilepaskan orang lain kepada saya. Saya cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikannya,” terangnya.

Sementara itu, dalam beberapa temu bual, Kangana berkata, penglibatannya dalam filem tersebut merupakan karakter yang paling menyeksa fizikal dan mental sepanjang bergelar pelakon.

“Hampir setahun, saya berlatih menunggang kuda dan bertarung. Saya juga terpaksa menambahkan berat badan untuk watak Manikarnika. Itu semua pengorbanan demi menjayakan filem ini,” katanya.

Manikarnika: The Queen of Jhansi merupakan sebuah filem berdasarkan kehidupan dan cabaran hidup Rani Laxmibai atau Manikarnika menentang cengkaman kuasa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang tercetus pada 1857. Karya berdurasi 148 minit itu mula menemui peminat pada 27 Januari 2019.

Dilabel sebagai selebriti kaki gaduh dan terlalu tegas dengan pendirian, pelakon jelita Kangana Ranaut menjawab persoalan itu seraya berbicara tentang filem baharunya, Manikarnika: The Queen of Jhansi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×