KUALA LUMPUR 25 Jan. – Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah mengambil dan merakam keterangan daripada semua pihak.
“Apa yang boleh saya katakan, siasatan telah selesai dan kini menunggu pihak DPP untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada 5 Januari lalu, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan selepas positif ganja dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Ampang di sini.
Dalam perkembangan lain, menurut Mazlan, pihaknya kini sedang giat mengesan seorang lelaki warga Ireland yang dilaporkan hilang pada 29 Disember lalu.
Katanya, lelaki dikenali sebagai Stephen Warde, 32, itu kali terakhir dilihat berada di Mercu Summer Suite, Jalan Sultan Ismail di sini sehari sebelum dilaporkan hilang.
“Siasatan mendapati dia masuk ke Malaysia pada 15 November 2018, seorang diri dan setakat hari ini masih belum ditemukan,” ujarnya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Stephen dilaporkan hilang di Malaysia selepas anggota keluarganya gagal menghubunginya sejak tiga minggu lepas. – UTUSAN ONLINE











