1,148 polis bertugas sempena PRK - Utusan Malaysia

1,148 polis bertugas sempena PRK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 25 Jan. – Seramai 1,148 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan di sepanjang hari mengundi esok.

“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir pada pukul 11.59 malam ini, tiada sebarang insiden dan kekecohan yang berlaku, keadaan tenang dan terkawal. Kita akan memastikan keadaan ini kekal pada hari mengundi esok,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media di sini hari ini.

Menurutnya, Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) PDRM juga akan bertugas sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kekecohan yang tidak terkawal.

Beliau berkata, seramai 110 anggota polis trafik akan ditugaskan bagi menjaga kelancaran trafik esok memandangkan hari mengundi jatuh pada hujung minggu.

“Polis akan menggunakan trak tunda sekiranya terdapat mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas.

“Mereka yang layak mengundi digesa keluar mengundi tanpa sebarang keraguan atau rasa takut untuk memilih wakil rakyat mereka ke Parlimen,” katanya.

Sementara itu, katanya, polis menerima 29 laporan sepanjang tempoh berkempen PRK melibatkan pelbagai kesalahan termasuk rasuah pilihan raya dan penggunaan bangunan dan harta kerajaan.

“Hanya satu kertas siasatan dibuka melibatkan penyebaran gambar kertas undi pos manakala selebihnya diserahkan kepada agensi dan penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×