Pekerja kedai miliki rokok seludup dikenakan bon berkelakuan baik - Utusan Malaysia

Pekerja kedai miliki rokok seludup dikenakan bon berkelakuan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Seorang pekerja kedai runcit warga Bangladesh terlepas daripada hukuman denda RM100,000 atas kesalahan memiliki rokok seludup yang hanya bernilai RM128.76, minggu lalu.

Tertuduh, Delowar Hossan, 27, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM5,000 dengan dua penjamin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho memutuskan demikian mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah setelah mempertimbangkan fakta kes, latar belakang dan rayuan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Delowar didakwa memiliki 1,272 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM128.76 yang dilarang pengimportannya dengan membabitkan duti import sebanyak RM254.40.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis beralamat No. 18, Jalan Seroja 6, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada pukul 8 malam, 16 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia,  Muhammad Khairul Farhan Mohd. Rakbi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira peruntukan undang-undang Akta Kastam 1967.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana hanya memperoleh pendapatan RM1,600 sebulan selain mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak di Bangladesh. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×